Skim Pentauliahan Pencapaian Terdahulu (PPT) melalui Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) telah telah dilancarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) pada 13hb September 1996. Selaras dengan usaha Kerajaan untuk meningkatkan bilangan pekerja mahir, skim ini membolehkan pekerja yang berkemahiran dan berpengalaman tetapi tidak mempunyai kelayakan persijilan, untuk mendapatkan SKM tanpa perlu melalui latihan atau peperiksaan khas. Calon dikehendaki mengemukakan bukti menunjukkan mereka adalah terampil untuk dinilai dan diperakukan oleh JPK bagi tujuan persijilan.
Pekerja boleh memohon untuk tujuan persijilan mengikut tahap berikut:-
1. SKM untuk tahap 1,2 dan 3; 2. Diploma Kemahiran Malaysia tahap 4; dan 3. Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia tahap 5.
Objektif skim ini adalah seperti berikut:-
untuk meningkatkan bilangan pekerja mahir di Malaysia;
untuk menyokong Kementerian Sumber Manusia dalam perlaksanaan SKM melalui JPK; dan
untuk memberi peluang kepada pekerja mahir untuk mendapat pentauliahan atas keterampilan mereka.
BAGAIMANA UNTUK MEMOHON
Untuk layak memohon di bawah skim ini majikan perlu mematuhi peraturan berikut:-
Majikan perlu mengemukakan borang permohonan PSMB/PPT/1/10 yang dilampirkan bersama salinan borang “Borang Permohonan Pentauliahan Pencapian Terdahulu” kepada PSMB untuk kelulusan. Borang permohonan perlu diterima oleh PSMB sebelum tarikh penilaian dibuat;
Majikan layak menuntut pelbagai tahap persijilan tertakluk kepada yuran persijilan RM300.00 untuk setiap tahap bagi pekerja mereka. Yuran persijilan akan dibayar terus kepada JPK; dan
Majikan tidak boleh mempunyai levi tertunggak atau faedah.
CARA MEMBUAT TUNTUTAN
Bagi memastikan tuntutan di bawah skim ini diproses dan dibayar sewajarnya, majikan perlu mematuhi peraturan berikut:-
Majikan perlu mengemukakan borang tuntutan PSMB/PPT/T/1/09 yang disertakan dengan salinan borang JPK/PPT/1003 yang telah disokong oleh JPK bagi setiap pekerja; dan
Tuntutan persijilan akan dibayar terus kepada JPK melalui akuan majikan. Hanya pekerja yang menamatkan penilaian sahaja yang akan dibayar bagi tujuan persijilan.