Pusat Dokumen :
  • Borang Permohonan
  • Pekeliling
  • Panduan
  • Buletin PSMB
  • Laporan Tahunan
    Maklumat Am :
  • Online Statistics
  • Allowable Cost Matrix - 2011
  • Public Holiday
      Follow us on :


      Web Statistics :

      
    Resize Font: A+ | A- | Reset |
    English   
     
    FAQ
    Portlet Menu
    SOALAN-SOALAN LAZIM

    1. Siapakah yang dikehendaki mendaftar dengan PSMB?

    Seksyen 13(1) Akta tersebut menetapkan bahawa tiap-tiap majikan baginya Akta ini terpakai hendaklah mendaftar dengan Perbadanan dalam masa dan mengikut cara sebagaimana yang ditetapkan.

    Majikan yang gagal berbuat demikian adalah dianggap sebagai telah melakukan satu kesalahan dan jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau penjara bagi tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya (Seksyen 13 (2)).

    Berdasarkan Jadual Pertama Akta PSMB 2001, industri yang diliputi adalah seperti berikut:

     

    KELAS MAJIKAN

    INDUSTRI

    STATUS

    Sektor Perkilangan

    1. Majikan yang mempunyai 50 orang pekerja dan ke atas

     

    Pengilangan, iaitu pembuatan atau pemprosesan sesuatu barang dengan menggunakan buruh atau mesin atau kedua-duanya, termasuk mengubah bahagian atau komponen kepada barang lain yang mempunyai sifat atau ciri yang berbeza, melalui pengubahan, pengadunan, penghiasan, pengemasan atau selainnya mengawet atau menyesuaikan apa-apa barang atau bahan supaya ia dapat digunakan, dijual, diangkut, dihantar atau dilupuskan, termasuk pembinaan kapal atau pemasangan bahagian-bahagian kapal.

    Wajib mendaftar

    2. Majikan yang mempunyai 10 hingga 49 orang pekerja dengan modal berbayar RM2.5 juta dan lebih

     

     

    3. Majikan yang mempunyai 10 hingga 49 orang pekerja dengan modal berbayar RM2.5 juta dan ke bawah.

     

     

     

    Diberi pilihan untuk mendaftar atau sebaliknya

    Sektor Perkhidmatan

    1. Majikan yang mempunyai 10 orang pekerja dan ke atas

    Hotel

    Wajib mendaftar

    Pengangkutan udara

    Perniagaan pengendalian pelancongan

    Telekomunikasi

    Penghantaran angkutan

    Perkapalan

    Pos atau kiriman cepat

    Pengiklanan

    Perkhidmatan komputer

    Tenaga

    Latihan

    Pendidikan tinggi

    Jualan langsung

    Perkhidmatan pelabuhan

    Sokongan kejuruteraan & penyelenggaraan perkhidmatan

    Pendidikan & pembangunan

    Perkhidmatan pergudangan

    Perkhidmatan keselamatan

    Perkhidmatan hospital swasta

    2. Majikan yang mempunyai 50 orang pekerja dan ke atas

    Perkhidmatan pasar raya besar, pasar raya & gedung serbaneka



    2. Apakah maksud levi pembangunan sumber manusia?

    Seksyen 14(1) menetapkan bahawa setiap majikan yang diliputi di bawah Akta PSMB 2001 hendaklah membayar levi pembangunan sumber manusia ke atas setiap pekerjanya pada kadar 1% dari gaji bulanan pekerja.

    Seksyen 15(2) menetapkan bahawa majikan yang boleh memilih untuk mendaftar, dan mendaftar dengan PSMB, perlu membayar ke atas setiap pekerjanya pada kadar 0.5% daripada gaji bulanan pekerjanya.

    Peraturan 7, Peraturan-peraturan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (Pendaftaran Majikan Dan Pembayaran Levi) 2001, menetapkan bahawa seseorang majikan yang liabel berdaftar, diwajibkan membayar levi Pembangunan Sumber Manusia bagi upah bulan pertama dan bulan-bulan berikutnya bermula dari tarikh mereka menjadi liabel. Pembayaran levi Pembangunan Sumber Manusia adalah tanggungjawab para majikan. Upah pekerja tidak boleh dipotong bagi tujuan pembayaran levi dalam apa jua keadaan.

    3. Bilakah majikan dikehendaki membuat pembayaran levi pembangunan sumber manusia?

    Di bawah Peraturan 7, Peraturan-peraturan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (Pendaftaran Majikan Dan Pembayaran Levi) 2001, majikan-majikan yang diwajibkan membayar levi dikehendaki membayar levi tidak lewat daripada hari terakhir bulan berikutnya selepas sahaja bulan yang berkenaan dengan pembayaran itu wajib dibayar.

    Di bawah Seksyen 14(3) Akta Pembangunan Sumber Manusia, seseorang majikan yang gagal membayar apa-apa levi yang perlu dibayar dalam tempoh masa seperti yang ditetapkan oleh Peraturan 7, Peraturan-peraturan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (Pendaftaran Majikan dan Pembayaran Levi) 2001, majikan berkenaan telah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 (Ringgit Malaysia Dua Puluh Ribu) atau dipenjarakan selama suatu tempoh yang tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Seksyen 24, Akta Pembangunan Sumber Manusia juga menetapkan bahawa apa-apa faedah yang dikenakan ke atasnya, hendaklah menjadi suatu hutang yang perlu dibayar dan boleh didapatkan kembali oleh Perbadanan.

    Majikan yang membayar levi lewat daripada waktu yang ditetapkan akan dikenakan faedah 10 peratus setahun berdasarkan bilangan hari kelewatan. Sebarang pembayaran faedah terakru mestilah dibuat menggunakan Borang 2C. Amaun faedah yang perlu dibayar oleh majikan adalah ditentukan oleh PSMB.

    4. Bagaimanakah cara untuk membuat pembayaran levi?

    Semua pembayaran levi atau faedah hendaklah dibuat melalui agen pemungut PSMB (Public Bank Berhad dan RHB Bank Berhad) menggunakan Borang 2A, 2B atau 2C. Bagi tempat yang tidak mempunyai cawangan bank tersebut, majikan juga boleh menghantar bayaran levi terus kepada Ibu Pejabat PSMB di Kuala Lumpur tetapi risiko atas kehilangan cek atau kelewatan transaksi tidak akan ditanggung oleh PSMB.

    Pembayaran levi semasa adalah dengan menggunakan borang 2A dan tunggakan levi hendaklah menggunakan borang 2B. Jika majikan ingin membuat bayaran tunggakan levi bagi beberapa bulan serentak, majikan boleh menggunakan satu cek sahaja tetapi borang 2B yang berasingan mesti digunakan bagi setiap bulan.

    Bagi tujuan pembayaran levi, PSMB telah melantik Public Bank Berhad dan RHB Bank Berhad sebagai agen pemungut di seluruh negara. Nombor akaun PSMB di kedua-dua bank berkenaan adalah seperti berikut: -

    (i)  Public Bank Berhad - 3999060003
    (ii) RHB Bank Berhad – 21433437000066

    Kedua-dua bank akan mencetak nombor akaun PSMB ke atas Borang 2A (bayaran levi bulan semasa), 2B (bayaran levi bulan tertunggak) dan 2C (bayaran faedah atas tunggakan levi) semasa majikan membuat bayaran. Bagi kawasan-kawasan yang tidak mempunyai cawangan Public Bank Berhad atau RHB Bank Berhad, majikan-majikan boleh menghantar melalui pos bayaran levi bersama-sama dengan Borang 2A atau 2B atau 2C yang telah diisi dengan lengkap terus kepada Ketua Eksekutif PSMB ke alamat seperti berikut: -

    Ketua Eksekutif

    Pembangunan Sumber Manusia Berhad
    Wisma PSMB
    Jalan Beringin
    Damansara Heights
    50490 Kuala Lumpur

    Salinan ketiga Borang 2A atau 2B atau 2C yang telah dicetak dengan mesin bank atau diakuterima oleh pegawai bank yang diberi kuasa dan dicop tarikh penerimaannya akan dikembalikan kepada majikan yang berkenaan untuk disimpan sebagai bukti prima facie bahawa levi telah dibayar. Cara pembayaran yang diterima oleh PSMB adalah secara tunai, cek tempatan, "banker's order", "cashier's cheque" wang pos dan kiriman wang. Penggunaan cek luar adalah tidak digalakkan.

    5. Siapakah yang layak untuk memohon geran latihan dari PSMB?

    Majikan-majikan yang berdaftar dan / atau diperbadankan di Malaysia, dan telah berdaftar dengan PSMB serta membuat bayaran levi pembangunan sumber manusia adalah layak untuk memohon geran latihan (bantuan kewangan) untuk membiayai semua atau sebahagian besar daripada "kos yang dibenarkan" bagi melatih pekerja-pekerja mereka. Latihan yang dijalankan mestilah dalam bidang-bidang yang berfaedah secara langsung kepada operasi perniagaan mereka. Bantuan kewangan tidak diberi kepada individu-individu yang mendaftar diri dan membiayai program latihan mereka sama ada secara penuh atau sebahagian daripadanya dan kemudian memohon kepada majikan untuk ditajakan.

    Pelatih-pelatih mestilah terdiri daripada pekerja-pekerja WARGANEGARA MALAYSIA untuk kelayakan mendapat geran latihan.

    6. Apakah skim-skim latihan yang tedapat di PSMB?

    Majikan adalah digalakkan untuk menggunakan bayaran levi mereka melalui skim-skim latihan seperti berikut: -

    (i) Skim SBL (Skim Bantuan Latihan)

    Skim ini merupakan skim bantuan utama PSMB. Majikan perlu mengemukakan permohonan sebelum latihan bermula. Majikan dibenarkan untuk mengenal pasti keperluan latihan mereka sendiri dan melaksanakan program latihan untuk melatih semula dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pekerja sejajar dengan keperluan operasi dan perniagaan syarikat. Di bawah skim ini, majikan dibenarkan menjalankan latihan sama ada di tempat kerja atau di luar tempat kerja atau kombinasi kedua-duanya sekali. Majikan juga boleh melaksanakan latihan dengan menggunakan pengajar dalaman, luaran atau luar negeri. Pengajar atau penyedia latihan tidak disyaratkan berdaftar dengan PSMB di bawah skim ini.

    (ii) Skim SBL-KHAS

    Skim SBL-Khas ini dilaksanakan bagi membantu para majikan yang menghadapi masalah pengaliran wang tunai untuk terus mempergiatkan aktiviti-aktiviti latihan semula dan meningkatkan kemahiran pekerja mereka dengan menggunakan baki levi yang sedia ada. Di bawah skim ini, majikan tidak perlu membayar yuran latihan kepada penyedia latihan terlebih dahulu. PSMB akan mendebitkan levi daripada akaun majikan untuk membayar yuran latihan kepada penyedia latihan dengan kebenaran yang telah diberikan oleh majikan berkenaan. Program latihan yang layak ditawarkan di bawah skim ini ialah Latihan dalaman dan luaran yang dijalankan oleh penyedia latihan yang berdaftar dengan PSMB. Permohonan geran latihan dari majikan bagi program yang tidak berdaftar dengan PSMB atau diadakan oleh penyedia latihan yang tidak berdaftar dengan PSMB akan ditolak.

    (iii) Skim PROLUS (Program Latihan Yang Diluluskan)

    Skim ini mensyaratkan penyedia-penyedia latihan berdaftar dengan PSMB. Setelah berdaftar, mereka bolehlah mengemukakan program-program latihan yang relevan kepada keperluan latihan majikan untuk dipertimbangkan bagi pemberian taraf Latihan Yang Diluluskan (PROLUS). Majikan-majikan bolehlah memilih mana-mana program latihan yang bertaraf PROLUS, menghantar pekerja-pekerja mereka menjalani latihan tanpa memperolehi kelulusan Urusetia PSMB terlebih dahulu dan membuat tuntutan setelah program latihan tamat, bergantung kepada terma dan syarat PSMB. Di antara program latihan/kursus yang boleh ditawarkan ialah Kemahiran pengurusan/Pentadbiran, Teknikal/Pertukangan, Komputer dan Kemahiran produktiviti.

    (iv) Skim PERLA (Perjanjian Latihan Dengan Penyedia Latihan).

    Skim ini pada dasarnya merupakan suatu Perjanjian Latihan dengan penyedia latihan yang terpilih dan berdaftar dengan PSMB. Tujuan skim ini ialah untuk meringankan beban kewangan majikan, khususnya majikan-majikan kecil. Di bawah skim ini, majikan menghantar pekerja-pekerja mereka untuk latihan semula/peningkatan kemahiran dengan penyedia-penyedia latihan ini tanpa perlu membayar sepenuhnya jumlah yuran yang dikenakan. Sebagai contoh, jika yuran yang dikenakan untuk sesuatu program sebanyak RM1,000.00 dan kadar bantuan kewangan di bawah KWPSM ialah lapan puluh lima peratus (85%), majikan hanya perlu membayar RM150.00 sewaktu pendaftaran. Bakinya sebanyak RM850.00 akan dituntut oleh penyedia latihan berkenaan daripada PSMB. Bagi kadar bantuan kewangan seratus peratus (100%), majikan tidak perlu mengemukakan apa-apa bayaran. Dengan tiada atau bayaran pendahuluan yang kecil ini, PSMB berharap lebih banyak pekerja akan dihantar untuk latihan semula dan peningkatan kemahiran.

    (v) Skim PLT (Pelan Latihan Tahunan)

    Skim PLT bertujuan untuk menggalakkan majikan-majikan menyediakan Pelan Latihan Tahunan. Di bawah skim ini, majikan adalah digalakkan untuk membuat analisis keperluan latihan secara sistematik bagi memastikan latihan yang dijalankan benar-benar memenuhi keperluan syarikat dan selaras dengan tahap teknologi yang digunakan serta pelan perniagaan mereka. Pelan latihan tersebut hendaklah meliputi sekurang-kurangnya 10% daripada 15% jumlah pekerja bawahan di syarikat tersebut, mempunya kelayakan SPM dan ke bawah. Bagi majikan yang tidak mempunyai kepakaran menjalankan analisis keperluan latihan, bantuan dari PSMB boleh diperolehi melalui: -

    (a) Skim Juruplan (Skim Khidmat Juruperunding Bagi Pelan Latihan Tahunan).

    Majikan boleh berhubung dengan Urusetia PSMB untuk mendapat khidmat juruperunding yang berdaftar dengannya. Kos juruperunding yang akan terlibat perlu mendapat kelulusan PSMB terlebih dahulu dan bantuan kewangan adalah pada kadar 80 peratus. Faedah ini hanya boleh dinikmati sekali sahaja kerana majikan berkenaan telah memperolehi kemahiran untuk menjalankan Analisis Keperluan Latihan untuk tahun-tahun akan datang.

    (vi) Skim Pembelian Peralatan Bantuan Latihan Dan Penyediaan Kemudahan Bilik Latihan

    Skim ini melayakkan majikan memperolehi bantuan kewangan pada kadar seratus peratus (100%) bagi Pembelian Peralatan Bantuan Latihan dan Penyediaan Kemudahan Bilik Latihan tetapi tertakluk kepada maksimum 20% daripada jumlah bayaran levi yang dibayar dalam tahun sebelumnya. Di bawah skim ini, majikan perlu mendapatkan kelulusan awal dari PSMB. Skim ini bertujuan menggalakkan majikan menjalankan latihan dalaman serta meningkatkan budaya latihan di kalangan mereka.

    Peralatan-peralatan latihan yang diluluskan di bawah skim ini adalah seperti berikut: -

    (a) Set Televisyen;
    (b) Pemain Video Kaset (VCR)
    (c) Pemain Video Cakera Padat (VCD Player) atau Pemain Video Cakera Padat Digital (DVD Player);
    (d) Overhead Projector;
    (e) LCD, Multimedia dan Direct Projector;
    (f) Layar dan Papan Putih;
    (g) Pita Latihan dan Video;
    (h) Video latihan ‘compact disc’;
    (i) Kerusi dan Meja untuk Bilik Latihan sahaja; dan
    (j) Flip Chart Stand; and
    (k) Peralatan Mannequin (program latihan pertolongan cemas dan cpr)

    Bagi penyediaan bilik-bilik latihan, kelulusan yang diberi adalah tidak termasuk pembinaan bangunan, pusat latihan, atau apa-apa bayaran sewa beli bilik latihan.

    Mengikut Pekeliling Bil. 3/2009, pembelian komputer bimbit atau “notebook” telah diluluskan sebagai item yang dibenarkan di bawah Skim Pembelian Peralatan Dan Penyediaan Kemudahan Bilik Latihan dengan syarat-syarat seperti di bawah:

     - Majikan perlu mempunyai bilik latihan dan tenaga penagar dalaman sepenuh masa atau pegawai latihan;

     - Komputer bimbit atau “notebook” mestilah digunakan oleh pengajar dalaman atau pegawai latihan;

     - Majikan perlu mempunyai kemudahan LCD projector di premis majikan;

     - Komputer bimbit tersebut tidak dibenarkan untuk dipinjam kepada pegawai yang tidak berkenaan atau bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan latihan;

     - Komputer bimbit yang tidak digunakan mestilah disimpan di dalam bilik latihan atau di Bahagian Sumber Manusia. Ia hanya dibenarkan dibawa keluar daripada premis majikan dengan syarat terdapat aktiviti berkaitan latihan yang dijalankan oleh majikan;

     - Pembelian komputer bimbit hanya dibenarkan sekali bagi setiap dua tahun; dan

     - Majikan yang kehilangan komputer bimbit yang dibeli melalui skim ini tidak layak memohon semula bagi tujuan penggantian.

    (vii) Latihan Berasaskan Komputer

    Majikan yang hendak membeli atau membangunkan perisian CBT termasuklah CD-ROM untuk tujuan latihan semula dan meningkatkan kemahiran pekerja mereka layak untuk mendapatkan bantuan kewangan. Pembelian perisian komputer tidak memerlukan kelulusan dari PSMB. Walau bagaimanapun, kelulusan awal adalah diperlukan sekiranya majikan melantik juruperunding untuk membangunkan perisian latihan yang spesifik. Kadar bantuan kewangan adalah mengikut bidang-bidang kemahiran.

    (viii) Skim Teknologi Maklumat dan Latihan Berbantu Komputer (Pembelian komputer peribadi)

    Dalam usaha menggalakkan latihan Teknologi Maklumat oleh majikan, bantuan kewangan akan diberikan kepada pihak syarikat untuk mengadakan kemudahan latihan berkomputer memandangkan majikan menghadapi masalah untuk membenarkan pekerja mereka menghadiri latihan yang diadakan di luar premis majikan. Di bawah skim ini, pihak syarikat diberi kemudahan untuk membeli beberapa unit komputer peribadi. Majikan layak untuk menerima bantuan kewangan sehingga jumlah maksimum sebanyak RM25,000.00 sekali dalam masa tiga (3) tahun.

    Majikan dikehendaki mendapatkan kelulusan awal sebelum membuat pembelian. Pembelian komputer tersebut adalah hanya untuk kegunaan latihan sahaja dan tidak boleh digunakan untuk pentadbiran pejabat. Pembelian komputer peribadi yang mempunyai perkakasan multimedia seperti "CD ROM Drive", "Speakers" dan "Sound Card". Komputer jenis Notebook dan Laptop tidak layak mendapat bantuan kewangan di bawah skim ini.

    (ix) Skim Perantisan

    Skim ini bertujuan untuk menyediakan tenaga kerja terlatih bagi industri yang ditentukan oleh PSMB bersama dengan majikan. Perantis dipilih daripada pelajar lepasan PMR /SPM. Pekerja majikan yang tidak mempunyai latihan secara formal juga boleh ditaja oleh majikan tetapi dengan nisbah 1:1. Latihan perantisan ialah kombinasi latihan teori di tempat penyedia latihan yang memberi penekanan latihan praktikal dan latihan di tempat kerja yang berstruktur di premis majikan penaja. Kurikulum latihan dibangunkan berasaskan modul.

    Selepas tamatnya latihan bagi setiap modul di institut latihan (bagi tempoh 3 bulan), perantis akan menjalani latihan di tempat kerja di premis majikan (3 bulan) untuk memperkukuhkan lagi apa yang telah dipelajari. Tempoh keseluruhan latihan ialah di antara 6 bulan hingga 18 bulan, bergantung kepada jenis skim perantisan dan keperluan majikan.

    Yuran pengajian dibayar sepenuhnya oleh PSMB. Majikan penaja akan membayar elaun bulanan (RM300-RM500) dan perlindungan insuran. Mereka layak menuntut bantuan kewangan pada kadar 100 peratus bagi kos yang dibenarkan iaitu elaun bulanan perantis, insuran dan bahan guna habis, jika ada. Selepas tamat latihan, perantis akan ditauliahkan dengan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2. Perantis yang mengikuti modul latihan sepenuhnya akan dianugerahkan Sijil Perantisan oleh PSMB dan MLVK.

    (x) Skim Latihan Bersama (SLB)

    Skim ini melibatkan beberapa majikan, terutamanya PKS yang bersama-sama mengambil atau melantik Penyedia Latihan bagi menjalankan program / kursus kepada pekerja mereka. Salah seorang daripada majikan yang terlibat akan berperanan sebagai ‘pengendali’ dalam menentukan program yang perlu, mendapatkan penyedia latihan yang sesuai, menetapkan tempat di mana program akan dijalankan dan menentukan kos yang dikongsi berdasarkan bilangan pelatih. Majikan yang bertindak sebagai ‘pengendali’ berkelayakan membuat tuntutan bagi kos yang dibenarkan dan yang ditanggung olehnya pada kadar 100%, manakala majikan-majikan lain pula, kadar tuntutan adalah mengikut kadar bantuan kewangan yang berkuatkuasa sekarang.

    7. Bolehkah majikan membuat tuntutan yuran Seminar?

    Majikan layak menuntut semua kos-kos yang dibenarkan apabila menghadiri konferens dan seminar di bawah PSMB tertakluk kepada syarat-syarat seperti di bawah: -

      A. Persidangan / Seminar Dalam Negara

        · Terbuka kepada semua penganjur;
        · Topik persidangan / seminar yang akan dihadiri oleh pekerja hendaklah berkaitan dengan tugas dan perniagaan syarikat;
        · Yuran persidangan / seminar yang layak dituntut adalah tertakluk kepada had maksimum sebanyak RM500 sehari;
        · Tempoh persidangan / seminar yang dijalankan hendaklah sekurang-kurangnya satu hari (7 jam) dan tidak melebihi daripada tiga hari;
        · Elaun harian bagi makan, penginapan dan pengangkutan dalaman sepanjang persidangan / seminar layak dituntut berdasarkan peraturan yang sedia ada. Jika makan/minum disediakan, amaun sebanyak RM25.00 akan ditolak daripada elaun harian pelatih; dan
        · Tambang kapal terbang kelas ekonomi bagi pelatih boleh juga dituntut (jika berkenaan)

      B. Persidangan / Seminar Luar Negeri

        · Terbuka kepada semua penganjur luar negeri;
        · Topik persidangan / seminar yang akan dihadiri oleh pekerja hendaklah berkaitan tugas dan perniagaan syarikat;
        · Yuran persidangan / seminar adalah mengikut amaun yang ditetapkan oleh penganjur;
        · Elaun harian bagi makan, penginapan dan pengangkutan dalaman sepanjang persidangan / seminar layak dituntut berdasarkan peraturan yang sedia ada;
        · Tambang kapal terbang kelas ekonomi bagi pelatih boleh juga dituntut (jika berkenaan); dan
        · Kadar bantuan kewangan adalah sebanyak 50% dari kos yang dibenarkan

    Jumlah bantuan kewangan untuk persidangan dan seminar bagi sesuatu tahun adalah tertakluk kepada 20% daripada jumlah bayaran levi yang dibayar dalam tahun sebelumnya. Ini adalah untuk memastikan bahawa sebahagian besar levi akan digunakan untuk tujuan latihan semula dan peningkatan kemahiran.

    8. Apakah skim latihan “On-the-job”?

    PSMB akan melaksanakan Skim latihan “On-The-Job” untuk Majikan Perusahaan Kecil dan Sederhana efektif pada 1 Disember 2008. Skim ini boleh dipohon oleh majikan PKS yang berdaftar dengan PSMB yang mana jumlah pekerja adalah seperti pecahan berikut: -

       

    Sektor

    Jumlah Pekerja

    Perkilangan

    150 orang pekerja atau kurang

    Perkhidmatan

    50 orang pekerja atau kurang



    Majikan PKS dikehendaki merancang dan menstrukturkan latihan tersebut Untuk memastikan latihan OJT berkesan. Program latihan OJT yang berstruktur ini perlu disediakan dengan menyatakan tajuk, objektif/hasil pembelajaran, kumpulan sasaran, tempoh, tugas/isi kandungan/kemahiran dan pengetahuan yang di ajar serta kaedah penyampaiannya.

    Latihan OJT hendaklah disampaikan oleh pekerja syarikat yang berkemahiran atau penyelia kepada pelatih. Latihan OJT boleh dilaksanakan dalam beberapa sesi yang mana tempoh setiap sesi hendaklah sekurang-kurangnya satu jam. Di bawah skim ini, latihan OJT hanya dibenarkan pada kadar nisbah pengajar dan pelatih daripada 1:1 sehingga maksimum 1:4. Bagi latihan yang melibatkan 5 pelatih dan lebih, permohonan bantuan kewangan hendaklah dikemukakan di bawah skim SBL sebagai elaun pengajar dalaman.

    Pembayaran balik bantuan kewangan adalah pada kadar RM5.00 seorang pelatih / satu jam (RM/pelatih/jam). Tempoh minimum keseluruhan latihan adalah 7 jam manakala tempoh maksimum tidak boleh melebihi 300 jam.

    Majikan tidak perlu membuat permohanan awal untuk geran latihan dan hanya perlu menghantar borang tuntutan menggunakan borang PSMB/OJT/T/1/08 ke bahagian Kewangan PSMB berserta dengan dokumen berkaitan iaitu Kehadiran OJT and Log Penilaian. Borang tuntutan boleh dihantar sejurus selepas tamat sesi terakhir latihan dijalankan. Adalah dimaklumkan bahawa PSMB berhak menolak setiap permohonan yang tidak lengkap.

    Sekiranya majikan telah memohon bantuan kewangan daripada skim lain ataupun melalui program tajaan pihak kerajaan untuk OJT, maka permohanan untuk latihan OJT yang sama melalui Skim OJT ini tidak dibenarkan.

    Sila rujuk Pekeliling Bil. 15/2008 untuk maklumat lanjut.

    9. Bolehkah majikan yang mempunyai tunggakan levi dan faedah yang belum dijelaskan memohon geran latihan?

    Majikan boleh terus menerima bantuan kewangan dan faedah lain daripada Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) walau pun mempunyai levi tertunggak dan faedah yang belum dijelaskan seperti yang termaktub di dalam Seksyen 20(6A), Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad, 2001.

    Jumlah levi tertunggak dan/atau faedah yang belum dijelaskan akan diofset dengan tuntutan geran latihan yang diluluskan untuk dibayar.

    Di bawah prosedur baru ini, bukan sahaja tuntutan geran latihan majikan akan dibayar tetapi levi tertunggak dan/atau feadah mereka akan dilangsaikan secara beransur-ansur atau dikurangkan. Walau bagaimanapun, amaun bantuan kewangan yang layak diterima oleh majikan masih lagi tertakluk kepada baki dalam akaun levi majikan. Dalam keadaan di mana baki levi majikan tidak mencukupi, geran latihan yang dibayar adalah setakat baki yang ada dalam akaun levi majikan (bayaran sebahagian). Sebahagian lagi akan dibayar apabila majikan mempunyai baki levi yang mencukupi. Jika baki dalam akaun levi majikan adalah kurang daripada amaun yang diluluskan untuk dibayar, tiada levi tertunggak dan faedah akan diofset dan tuntutan akan ditolak.

    Jika majikan yang mempunyai levi tertunggak dan faedah yang belum dijelaskan gagal mengemukakan sebarang bentuk permohonan semasa mengemukakan tuntutan geran latihan, tuntutan mereka akan ditolak.

    Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Khidmat Pelanggan kami di talian 03 - 2096 4600 atau pegawai berikut:

        (i)   Siti Haida binti Mohd. Aini (03 - 2096 4854);
        (ii)  Mohd. Nazali bin Md. Jidin (03 - 2096 4842); dan
        (iii) Syed Shahrul Hafeez bin Syed Halim (03 - 2096 4864

    10. Apakah sistem E-disbursement?

    Di bawah sistem e-disbursement, amaun geran latihan yang diluluskan untuk bayaran akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank majikan/penyedia latihan. Sebelum majikan dan penyedia latihan boleh menerima bayaran melalui sistem e-disbursement, mereka perlu mengemukakan dua jenis borang iaitu PSMB/e-disbursement/1/08 dan PSMB/e-disbursement/2/08.

    Pembayaran melalui sistem e-disbursement adalah hanya untuk pemegang akaun semasa dan bank di bawah Malaysian Electronic Payment System (MEPS) sahaja. Caj sebanyak 50 sen bagi setiap transaksi akan dikenakan kepada pemegang akaun Public Bank, manakala bagi bank-bank lain, caj sebanyak RM2.00 setiap transaksi akan dikenakan bagi amaun kurang dari RM100,000 dan RM5.00 setiap transaksi bagi amaun berjumlah RM100,000 atau lebih. Caj-caj ini akan ditolak oleh MEPS daripada jumlah geran latihan yang diluluskan. Caj ini ditentukan oleh Public Bank dan MEPS dan bukannya oleh PSMB. Buat masa ini, bank-bank di bawah sistem MEPS adalah seperti yang dinyatakan di bawah ini:

        Affin Bank
        Affin Islamic Bank
        Alliance Bank
        AmBank
        Bank Islam
        Bank Muamalat
        Bank Simpanan Nasional
        CIMB Bank
        Citibank
        EON Bank
        EON Capital Islamic Bank
        Hong Leong Bank
        HSBC Bank
        Maybank
        OCBC Bank
        Public Bank
        RHB Bank
        Standard Chartered Bank
        United Overseas Bank

    Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Khidmat Pelanggan kami di talian 03 - 2096 4600 atau pegawai berikut:

    (i)   Haliza binti Hassan (03 - 2096 4827)
    (ii)  Siti Haida binti Mohd Aini (03 - 2096 4854)
    (iii)  Abdul Rahman bin Sahlan (03 - 2096 4875)

    11. Bolehkah majikan memohon bantuan kewangan untuk latihan amali yang dilakukan di syarikat mereka?

    Majikan yang berdaftar dengan PSMB boleh mendapatkan bantuan kewangan untuk membayar elaun bulanan dan "kos-kos lain yang dibenarkan" berkaitan dengan latihan amali oleh pelatih di premis majikan di bawah Skim Latihan Industri.

    Tempoh minimum bagi sesuatu program latihan industri hendaklah sekurang-kurangnya selama 3 bulan dan tempoh maksimum yang boleh dituntut di bawah KWPSM hendaklah selama 8 bulan. Tempoh latihan yang melebihi 8 bulan, segala kos yang berkaitan akan ditanggung oleh majikan. Majikan perlu mengemukakan borang permohonan PSMB/ITS/1/08. Latihan di bawah program ini hendaklah dijalankan di premis majikan secara sepenuh masa. Kehadiran pelatih hendaklah sekurang-kurangnya 75% daripada keseluruhan tempoh program latihan bagi melayakkan majikan membuat tuntutan elaun harian di bawah KWPSM.

    "Kos-kos yang dibenarkan" yang boleh dituntut oleh majikan adalah seperti berikut:

        i.   Elaun bulanan pelatih tertakluk kepada had maksimum RM500 sebulan bagi setiap pelatih;
        ii.  Peralatan keselamatan individu (terhad kepada satu set sahaja);
        iii. Yuran kursus jika majikan menghantar pelatih mengikuti latihan lain untuk meningkatkan lagi kemahiran pelatih (jika ada); dan
        iv.  Perlindungan insuran (jika ada).

    Bantuan kewangan yang dibenarkan bagi setiap majikan di bawah skim ini adalah tertakluk kepada had maksimum 20% daripada jumlah baki levi pada masa permohonan dibuat dalam sesuatu tahun. Sebarang permohonan tambahan yang dibuat pada tahun tersebut akan diproses berdasarkan baki levi setelah mengambil kira permohonan yang telah diluluskan sebelumnya.

    Majikan boleh mengemukakan tuntutan ke Bahagian Kewangan, PSMB sebaik sahaja latihan tamat sepenuhnya dengan melengkapkan borang PSMB/ITS/T/1/08.

    Sila rujuk Pekeliling Bil. 5/2008 untuk maklumat lanjut.

    12. Bolehkah majikan memohon geran latihan untuk program pembangunan?

    Majikan yang berdaftar dengan PSMB layak untuk memohon geran latihan seperti yuran dan kos-kos lain yang dibenarkan untuk pekerja mereka (Malaysia) yang mengikuti kursus pembangunan seperti Diploma, Ijazah, Sarjana dan Ph.D. Program-program yang ditawarkan oleh pihak kolej dan universiti dari kerajaan atau swasta dan juga program-program latihan yang ditawarkan oleh institut latihan vokasional dan teknikal yang mendapat pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia layak mendapat bantuan kewangan di bawah KWPSM.

    Majikan yang berdaftar dengan PSMB boleh memohon bantuan kewangan untuk menuntut pembayaran balik yuran kursus, pendaftaran dan peperiksaan bagi program pembangunan ini. Kursus-kursus yang akan dihadiri oleh pelatih hendaklah berkaitan dengan bidang tugas dan bersesuaian dengan perniagaan majikan. Majikan adalah dikehendaki memohon di bawah Skim SBL dengan mengemukakan borang PSMB/PGL/1/07 sebelum program bermula.

    “Kos-kos yang dibenarkan“ boleh dituntut daripada KWPSM di sepanjang tempoh program adalah seperti berikut :-

    a. Tambang kapal terbang kelas ekonomi boleh dituntut (sekali pergi dan balik di sepanjang tempoh kursus) bagi pelatih yang mengikuti kursus di luar negeri. Kos tambang kapal terbang ini meliputi cukai lapangan terbang, yuran pentadbiran dan surcaj minyak;

    b. Sekiranya pelatih dikehendaki menyediakan tesis, elaun tesis yang merangkumi kertas tugasan (hanya boleh dituntut sekali sahaja sepanjang tempoh program) boleh dituntut berdasarkan kadar berikut:

    i.  RM600 untuk program Sarjana; dan
    ii. RM1,000 untuk program Ph. D.

    Yuran kursus mesti ditanggung sepenuhnya oleh majikan. Majikan tidak dibenarkan menuntut sebarang yuran daripada pekerja sekiranya bantuan kewangan boleh dipohon daripada KWPSM. Yuran yang dibayar oleh pekerja tidak boleh dituntut dari PSMB. Bantuan kewangan yang boleh dituntut adalah seperti berikut:

    a. Kadar 100% untuk kursus yang ditawar di dalam negeri;
    b. Kadar 50% untuk kursus luar negeri; dan
    c. Kadar 100% untuk kursus luar negeri bagi permohonan daripada Institusi Pengajian Tinggi Swasta.

    Majikan dikehendaki memaklumkan kepada PSMB, jika pelatih menarik diri daripada program yang telah diluluskan bagi membolehkan bantuan kewangan tersebut dibatalkan dan digunakan semula untuk program latihan lain ataupun program pembangunan seterusnya.

    Sila rujuk Pekeliling Bil. 2/2008 untuk maklumat lanjut.

    13. Bagaimanakah majikan boleh mendapatkan kata laluan untuk Sistem Informasi Majikan?

    Terdapat beberapa cara untuk majikan memperolehi kata laluan iaitu:

    i)   Fakskan surat permohonan menggunakan ‘letterhead’
    ii)  Hantar e-mel kepada Bahagian IT menggunakan e-mel rasmi syarikat bersama-sama dengan ‘letterhead’ syarikat. (E-mel persendirian tidak akan dilayan)
    iii) Hantarkan wakil syarikat bersama-sama surat kebenaran daripada pihak pengurusan syarikat anda untuk memohon kata laluan

    14. Apakah terma dan syarat untuk pendaftaran penyedia latihan dan program latihan?

    Berkuatkuasa pada 27 Februari 2009, di bawah semakan semula terma dan syarat, hanya terdapat 2 kategori penyedia latihan iaitu Kategori A atau B seperti di bawah:

    (a) Kategori A adalah untuk penyedia latihan yang kukuh dan mempunyai sebuah pejabat dengan minimum satu (1) bilik latihan dan / atau makmal komputer dan / atau bengkel dengan kemudahan latihan dengan sekurang-kurangnya mempunyai dua (2) orang tenaga pengajar tempatan yang tetap dan kakitangan sokongan. Penyedia latihan di bawah kategori ini mestilah pernah menawarkan program dalaman atau umum sekurang-kurangnya 1 tahun. Yuran pemprosesan pembaharuan di bawah kategori ini adalah sebanyak RM1,300.00

    (b) Kategori B pula adalah untuk penyedia latihan yang tidak mempunyai bilik latihan dan kemudahan latihan tetapi mempunyai sebuah pejabat dengan sekurang-kurangnya seorang (1) tenaga pengajar tempatan yang tetap dan kakitangan sokongan. Yuran pemprosesan dan pembaharuan bagi penyedia latihan di bawah ketegori ini adalah sebanyak RM800

    Keluasan minimum untuk sesebuah bilik latihan di bawah Kategori A mestilah sekurang-kurangnya 35m2 tanpa mengambil kira ukuran panjang dan lebar saiz bilik tersebut. Peraturan ini adalah tidak terpakai kepada penyedia latihan yang berdaftar dengan PSMB di bawah kategori ini sebelum tarikh pekeliling ini berkuatkuasa.

    Yuran pendaftaran program latihan di bawah Skim SBL-Khas dan PROLUS adalah sebanyak RM300.00 untuk tempoh selama tiga (3) tahun.

    Program latihan yang ingin didaftarkan di bawah Skim PROLUS, mestilah pernah dijalankan sekurang-kurangnya sekali kepada majikan yang berdaftar dengan PSMB. Syarat ini tidak terpakai bagi program latihan di dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi khususnya program pakar, teknologi baru atau Diploma.

    Penyedia latihan boleh memohon untuk mendaftarkan program di bawah Skim PERLA setelah mempunyai lima (5) program latihan yang diluluskan di bawah Skim PROLUS. Setiap program latihan yang telah didaftarkan di bawah Skim PROLUS dan kemudiannya didaftarkan di bawah Skim SBL-Khas dan PERLA mempunyai tempoh sah yang sama iaitu selama tiga (3) tahun. Penyedia latihan hanya perlu memperbaharui program latihan di bawah Skim PROLUS sahaja.

    Yuran pembaharuan program di bawah SBL-Khas ialah RM200.00 dan tempoh sah untuk program tersebut adalah selama 3 tahun. Penyedia latihan di bawah Kategori A juga boleh memohon untuk mendaftarkan program yang telah diluluskan di bawah Skim PROLUS di bawah SBL-Khas tanpa dikenakan sebarang yuran.

    Jika penjelasan lanjut diperlukan, sila hubungi pegawai-pegawai seperti berikut:

    a) Pendaftaran / Pembaharuan Sijil Penyedia Latihan

    i.  En. Mohamed Ramdan bin Mohamed Yusoff
        No. Telefon : 03-2096 4829

    ii. Pn. Hasmaliza bt Ismail
        No. Telefon : 03-2096 4830

    b) Pendaftaran / Pembaharuan Program Di Bawah Skim SBL-Khas, PROLUS & PERLA

    i.  En. Ooi Chai Liang
        No. Telefon : 03-2096 4871

    ii. Puan Zarina bt Mohamed atau Pn. Sofiah bt Mohd Hoziri
        No. Telefon : 03-2096 4981/4833

    14. Apakah Skim ‘SME Training Partners’ (SMETAP)?

    Objektif ‘SMETAP’ ialah untuk membantu meningkatkan latihan dan latihan semula pekerja di kalangan majikan perusahaan kecil dan sederhana. PSMB dan penyedia latihan yang berdaftar akan bekerjasama menyediakan latihan yang bersesuaian kepada majikan perusahaan kecil dan sederhana. Yuran latihan akan dibayar terus kepada penyedia latihan yang berdaftar di mana yuran tersebut akan dikreditkan dari akaun majikan mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Majikan akan mendapat faedah melalui skim ini di mana mereka tidak perlu mengeluarkan wang terlebih dahulu untuk menyertai kursus.

    Program latihan yang diberikan adalah bersesuaian dengan keperluan latihan yang telah dikenalpasti melalui jawatankuasa latihan industri, kompetensi utama yang telah dikenal pasti melalui ‘brainstorming’ industri, dan kajian oleh pihak perunding. Semua cadangan yang dihantar oleh penyedia latihan akan dipertimbangkan untuk kelulusan oleh Ketua Eksekutif/Timbalan Ketua Eksekutif PSMB.

    Penyedia latihan yang berminat untuk menyertai program ‘SMETAP’ dikehendaki memenuhi beberapa kriteria seperti di bawah:

    a. Berdaftar sebagai penyedia latihan kelas A dengan PSMB, termasuklah mana-mana persatuan majikan yang berdaftar sebagai penyedia latihan;
    b. Mempunyai sekurang-kurangnya 3 tahun pengalaman dalam menyediakan latihan korporat;
    c. Mempunyai sekurang-kurangnya 10 program latihan yang diadakan sekurang-kurangnya 2 kali setahun dalam masa 2 tahun yang lepas;
    d. Semua pengajar telah mengikuti kursus Train-the-Trainer; dan
    e. Mempunyai akaun di Laman Web PSMB
    Lain-lain Pautan
    Portlet Menu