Pusat Dokumen :
  • Borang Permohonan
  • Pekeliling
  • Panduan
  • Buletin PSMB
  • Laporan Tahunan
    Maklumat Am :
  • Online Statistics
  • Allowable Cost Matrix - 2011
  • Public Holiday
      Follow us on :


      Web Statistics :

      
    Resize Font: A+ | A- | Reset |
    English   
     
    Mengenai PSMB
    Portlet Menu
    PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA BERHAD

    Dalam usaha untuk mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020, penekanan yang lebih hendaklah diberikan kepada latihan semula dan peningkatan kemahiran tenaga kerja. Ini adalah perlu bukan sahaja untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para pekerja tetapi juga untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran yang khusus dan terkini sejajar dengan teknik-teknik pengeluaran yang semakin berautomasi dan persaingan perniagaan yang sengit. Latihan semula dan peningkatan kemahiran juga adalah sangat mustahak bagi meningkatkan mutu tenaga kerja supaya ianya serba boleh dan cepat menyesuaikan diri seiring dengan perubahan teknologi dan persekitaran perniagaan.

    Sehubungan dengan itu, Akta Pembangunan Sumber Manusia, 1992 berkuatkuasa mulai Januari 1993 telah mewujudkan Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) yang dikawalselia oleh Majlis Pembangunan Sumber Manusia (MPSM). Selaras dengan pengkorporatan MPSM melalui Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad, 2001, MPSM kini dikenali sebagai Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

    Levi Pembangunan Sumber Manusia Berhad

    Levi Pembangunan Sumber Manusia adalah bayaran mandatori yang dikenakan oleh pihak kerajaan ke atas kategori majikan yang tertentu untuk tujuan latihan dan peningkatan kemahiran pekerja. Di bawah akta, majikan yang diliputi dikehendaki membayar levi Pembangunan Sumber Manusia bagi setiap pekerja pada kadar 1% daripada upah gaji pekerja. Walau bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia boleh, dari semasa ke semasa, dengan arahan yang diterbitkan melalui Warta, mengurangkan atau meningkatkan kadar levi yang telah ditetapkan. Menteri juga diberi kuasa untuk memberi pengecualian secara keseluruhan atau separuh bagi majikan dari membayar levi ini.

    Kategori Majikan Yang Diliputi di Bawah Akta PSMB, 2001

    i). Majikan sektor perkilangan yang mempunyai pekerja seramai 50 orang dan lebih (berkuatkuasa mulai 1 Januari 1993);


    ii). Majikan sektor perkilangan yang mempunyai pekerja antara 10 hingga 49 orang dengan modal berbayar sebanyak RM2.5 juta dan ke atas (berkuatkuasa mulai 1 Januari 1995);


    iii). Majikan sektor perkhidmatan yang mempunyai 10 orang pekerja dan ke atas dalam dua puluh satu industri terpilih iaitu industri perhotelan, agen pengembaraan (in-bound tour), perkapalan, pengangkutan udara, perkhidmatan telekomunikasi, komputer, pengiklanan, pos dan kurier dan penghantaran fret (berkuatkuasa mulai 1 Januari 1995); pendidikan tinggi, latihan dan tenaga (berkuatkuasa mulai 17 Februari 2000); jualan langsung, perkhidmatan pelabuhan, perkhidmatan sokongan dan penyenggaraan kejuruteraan, penyelidikan dan pembangunan, perkhidmatan penggudangan,  perkhidmatan keselamatan, perkhidmatan hospital swasta dan perkhidmatan pasaraya besar, pasar raya dan gedung (berkuatkuasa mulai 1 Januari 2005). Bagi perkhidmatan pasaraya besar, pasaraya dan gedung, hanya bagi majikan yang mempunyai 50 orang pekerja dan ke atas sahaja yang dikehendaki berdaftar. Industri pengangkutan darat perdagangan dan perkhidmatan pengangkutan kereta api yang mempunyai 10 orang pekerja dan ke atas (berkuatkuasa mulai 1 Disember 2007).


    iv). Majikan sektor perkilangan yang mempunyai pekerja antara 10 hingga 49 orang dengan modal berbayar kurang daripada RM2.5 juta dan diberi pilihan untuk mendaftar dengan PSMB (berkuatkuasa mulai 2 Ogos 1996).


    Di bawah Peraturan 4(1), Peraturan-peraturan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (Pendaftaran Majikan Dan Pembayaran Levi) 2001, majikan mempunyai 30 hari selepas tarikh mereka menjadi liabel untuk berdaftar dengan PSMB. Majikan daripada kategori yang dinyatakan di atas adalah liabel untuk berdaftar dengan PSMB di bawah Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad, 2001. Bagi yang belum berdaftar, adalah dinasihatkan untuk berbuat demikian dan sekiranya gagal, tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas mereka.

    Kelayakan Mendapat Geran Latihan

    Majikan-majikan yang berdaftar dan / atau diperbadankan di Malaysia, dan telah berdaftar dengan PSMB serta membuat bayaran levi pembangunan sumber manusia adalah layak untuk memohon geran latihan (bantuan kewangan) untuk membiayai semua atau sebahagian besar daripada “kos yang dibenarkan” bagi melatih pekerja-pekerja mereka. Latihan yang dijalankan mestilah dalam bidang-bidang yang berfaedah secara langsung kepada operasi perniagaan mereka. Bantuan kewangan tidak diberi kepada individu-individu yang mendaftar diri dan membiayai program latihan mereka sama ada secara penuh atau sebahagian daripadanya dan kemudian memohon kepada majikan untuk ditajakan.

    Kadar Bantuan Kewangan

    Skim KWPSM bukanlah merupakan suatu skim subsidi bagi latihan semula dan peningkatan latihan pekerja-pekerja oleh majikan-majikan. Memandangkan KWPSM akan memberi bantuan kewangan untuk membiayai sebahagian daripada kos latihan yang dibenarkan, semua program latihan semula dan peningkatan kemahiran yang dilaksanakan oleh majikan-majikan hendaklah dilihat sebagai usahasama dari segi kos.

    Kadar bantuan kewangan yang berkuatkuasa mulai 1 November 2008 adalah seperti berikut:-

    Jenis Latihan

     

    (a) Bidang Kemahiran


    Kadar Bantuan Kewangan Tertakluk kepada Maksimum Kos Yang Dibenarkan


    1. Kemahiran Teknikal 

    100%

    2. Kemahiran Kraf

    100%

    3. Kemahiran Berkaitan Kualiti Dan Produktiviti

    100%

    4. Kemahiran Berkaitan Dengan Komputer

    100%

    5. Lain-lain Bidang Kemahiran

    100%

    (dikekalkan pada kadar 100% mulai 1 November 2008)

    6. Latihan Di Luar Negeri

    50% (berkuatkuasa mulai 1 Julai 2002 – kadar bantuan kewangan telah dinaikkan dari 50% ke 100% latihan semula dan peningkatan kemahiran dalam teknologi tinggi, teknologi baru, penghasilan produk baru, penyelidikan dan pembangunan, kejuruteraan, pemasaran dan pengurusan strategik)

    (b) Pembelian Peralatan Latihan Dan Pengubahsuaian Bilik Latihan

    100%

    (tertakluk kepada 20% dari jumlah levi yang dibayar pada tahun sebelumnya)


    (c) Pembelian Perisian Berbantu Komputer (Pembelian Perisian dan Pembangunan bergantung kepada bidang kemahiran)


    85% - 100%

    (d) Skim Perantisan

    100%


    (e) Pensyarah IPTS Mengikuti Latihan Semula dalam Bidang Kejuruteraan, Teknologi Komputer, Perubatan dan Bidang Pengajaran


    100%



    Bayaran Levi PSMB

    Bagi tujuan pembayaran levi, PSMB telah melantik Public Bank Berhad dan RHB Bank Berhad sebagai agen pemungut di seluruh negara. Nombor akaun PSMB di kedua-dua bank berkenaan adalah seperti berikut:-

    (i)  Public Bank Berhad  -  3999060003
    (ii) RHB Bank Berhad     -  21433437000066

    Kriteria Kelayakan Majikan

    Semua majikan yang berdaftar dengan PSMB dan telah membayar levi Pembangunan Sumber Manusia selepas pendaftaran adalah layak untuk memohon geran latihan, tertakluk kepada kadar bantuan kewangan yang telah ditetapkan bagi membiayai sepenuhnya atau sebahagian daripada kos latihan bagi para pekerja.

    Permohonan Bagi Geran Latihan

    Majikan-majikan yang menjalankan latihan semula dan peningkatan kemahiran bagi pekerja-pekerja mereka melalui mana-mana kaedah latihan sepertimana yang dijelaskan boleh memohon geran latihan di bawah mana-mana skim latihan yang diwujudkan oleh PSMB.

    Skim Latihan PSMB

    Untuk membantu majikan menghantar pekerja mereka mengikuti latihan, PSMB telah memperkenalkan pelbagai skim latihan seperti berikut

    a) Skim SBL
    b) Skim SBL-Khas
    c) Skim Pelan Latihan Tahunan
        - Skim Jurupelan
        - Skim Juruperunding Analisis Keperluan Latihan untuk PKS
    d) Skim PROLUS
    e) Skim PERLA
    f) Skim Latihan Bersama
    g) Skim Perantisan
    h) Skim Berasaskan Komputer
    i) Skim Teknologi Maklumat dan Latihan Berbantu Komputer
    j) Skim Pembelian Alat Bantuan Latihan dan Mengadakan Bilik Latihan
    k) Kursus Bahasa Inggeris untuk Pekerja di bawah KWPSM
    l) Skim Latihan Industri
    m) Skim Latihan On-the-Job

    Tuntutan Geran Latihan

    Tuntutan geran latihan bagi program yang selesai dijalankan dalam tahun semasa hendaklah dikemukakan tidak lewat dari 30hb Jun tahun berikutnya. Pembayaran balik geran latihan bagi “kos-kos latihan yang dibenarkan” adalah berasaskan tuntutan. Amaun yang akan dibayar adalah tertakluk kepada amaun yang telah diluluskan atau perbelanjaan sebenar majikan, mana yang terkurang dan juga baki levi majikan.

    Persidangan & Anugerah Pembangunan Sumber Manusia

    PSMB juga turut menganjurkan persidangan tahunan bertujuan untuk memastikan pengamal sumber manusia mendapat maklumat yang terkini berkenaan dengan cabaran, pendekatan dan cara-cara untuk mencapai kecemerlangan organisasi. Selain daripada mendapat maklumat berkenaan dengan produk dan perkhidmatan, ianya juga menyediakan peluang perkongsian strategik dengan majikan, individu dan usahawan yang berkaitan.

    Bersempena dengan persidangan ini juga, anugerah Pembangunan Sumber Manusia turut diberikan kepada majikan besar dan majikan perusahaan kecil dan sederhana yang cemerlang dalam pembangunan sumber manusia di syarikat mereka. Untuk menghargai pencapaian mereka dan juga penyedia latihan, PSMB telah memperkenalkan Anugerah Pembangunan Sumber Manusia yang terdiri daripada Anugerah Menteri Sumber Manusia dan Anugerah Pembangunan Sumber Manusia Berhad. Anugerah tahunan ini dibahagikan kepada tiga category iaitu majikan besar, perusahaan kecil dan sederhana dan penyedia latihan.