PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA BERHAD
(Human Resources Development Berhad)
WISMA PSMB, JALAN BERINGIN
DAMANSARA HEIGHTS
50490, KUALA LUMPUR.

Tel : 03- 2096 4800

Fax : 03- 2096 4999


PEKELILING PENYEDIA LATIHAN BIL. 2/2006

PROSEDUR BARU MENGENAI PENDAFTARAN PENYEDIA LATIHAN DI BAWAH PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA BERHAD

1.0
TUJUAN

Tujuan pekeliling ini adalah untuk memaklumkan pada semua penyedia latihan yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) mengenai:-


a) Terma-terma dan Syarat-syarat Baru Bagi Permohonan Sijil Pendaftaran Penyedia Latihan dan mendaftar Cawangan-cawangan baru;

b) Pendaftaran Program Latihan Yang Dilulus (PROLUS) (termasuk E- Learning), PERLA dan SBL KHAS;

c) Pembaharuan Sijil Pendaftaran Penyedia Latihan dan Program Latihan secara online;

d) Perubahan Nama Syarikat dan Premis Latihan Untuk Ibu Pejabat dan Cawangan;

e) Perlantikan Pegawai Penyedia Latihan Yang Diberi Kuasa Untuk Menandatangani Borang Tuntutan Geran Latihan dan Lain-lain Dokumen Yang Berkaitan Dengannya.

f) HRD Portal; dan

g) Tanggungjawab-tanggungjawab Penyedia Latihan

 

2.0

DEFINISI

2.1

Bagi pekeliling penyedia latihan ini, terma-terma yang digunakan adalah seperti berikut:-


Urusetia

:Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) bertanggungjawab untuk mentadbir Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM)

Majikan

:Majikan yang berdaftar di bawah Akta 2001 Pembangunan Sumber Manusia

Penyedia Latihan

:Penyedia Latihan yang berdaftar di bawah Akta 2001 Pembangunan Sumber Manusia di bawah salah satu ketegori berikut:

  • Kelas A: Penyedia Latihan dibenarkan untuk melaksana program-program “soft skill” dan “hard skill” di bawah Skim-skim SBL, SBL KHAS, PROLUS (termasuk E-Learning), PERLA dan Perantisan.
  • Kelas B: Penyedia Latihan dibenarkan untuk melaksana program-program “soft skill” dan “hard skill” di bawah Skim-skim SBL, SBL KHAS, PROLUS (termasuk E-Learning) dan Perantisan.
  • Kelas C: Penyedia Latihan yang dibenarkan untuk melaksanakan program-program latihan “soft skill” di bawah SBL dan SBL-KHAS sahaja.

KWPSM

:Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia.

PROLUS

:Skim Program Latihan Yang Dilulus.

PERLA

:Perjanjian Latihan bagi melaksanakan program latihan yang diluluskan dan yuran latihan dibayar terus kepada Penyedia Latihan dengan mendebit akaun levi majikan.

SBL

:Skim Geran Latihan.

SBL KHAS

:Skim Geran Latihan Khas yang membolehkan program latihan yang dilulus dilaksanakan di bawah Skim SBL dan yuran latihan dibayar terus kepada Penyedia Latihan dengan mendebit akaun levi majikan.

 

3.0

KENYATAAN AM

Pekeliling ini juga diedarkan kepada semua majikan yang berdaftar dengan PSMB untuk makluman.

 

4.0

LATAR BELAKANG

4.1

Sejak tahun 1993, MPSM/PSMB telah menerima banyak permohonan daripada penyedia-penyedia latihan untuk mendapat program-program latihan yang berstatus PROLUS. Skim ini membolehkan penyedia latihan yang berdaftar untuk menawarkan program-program latihan secara umum kepada majikan-majikan. Pada tahun 2001, permohonan Sijil Pendaftaran Penyedia Latihan diklasifikasikan sebagai kategori Kelas A, B, dan C dibawah Pekeliling Penyedia Latihan Bil. 3/2001.

4.2

Di bawah prosedur yang digunapakai sekarang, penyedia-penyedia latihan yang ingin berdaftar dengan PSMB boleh memilih untuk berdaftar di bawah Kelas A, B atau C tertakluk kepada kelayakan mereka.

4.3

Kajian mengenai Sijil Pendaftaran Penyedia Latihan telah dibuat pada tahun 2005. Sehingga 8 Julai 2005, jumlah penyedia latihan yang berdaftar dengan PSMB ialah 1,346 yang mana sebanyak 599 (44.5%) Sijil Pendaftaran Penyedia Latihan telah dibatalkan. Peratusan pembatalan penyedia latihan yang tinggi ini menunjukkan bahawa prestasi mereka adalah rendah dan tidak berjaya dalam melaksanakan latihan korporat. Kebanyakan mereka (517 atau 86.3%) telah didaftarkan di bawah Kelas A, manakala baki sebanyak 82 (13.7%) telah didaftarkan di bawah Kelas C.

4.4
Kebanyakan mereka tidak memperbaharui sijil pendaftaran kerana mereka gagal untuk mengemukakan program latihan atau prestasi yang lemah kerana kurang permintaan terhadap program latihan mereka.

4.5
Daripada 564 penyedia latihan yang berdaftar di bawah Kelas A, sebanyak 87 (15.4%) telah mendaftarkan cawangan-cawangan latihan. Sejumlah 293 cawangan telah didaftarkan dan 29 (9.9%) cawangan-cawangan mereka telah dibatalkan. Majoriti cawangan-cawangan yang dibatalkan adalah dimiliki oleh penyedia-penyedia latihan yang hanya aktif secara berkala bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti latihan di bawah Skim Latihan Pekerja Yang Diberhentikan Kerja dan Skim Latihan Graduan Menganggur.

4.6

Pada 15 September 2005, PSMB telah mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil di kalangan penyedia latihan yang berdaftar dengan PSMB untuk mendapatkan maklumbalas. Mereka bersetuju bahawa kualiti program-program latihan bukan sahaja bergantung kepada kemudahan-kemudahan latihan tetapi perkara yang lebih penting ialah kualiti pengajar-pengajar. Oleh yang demikian, semua pengajar di kalangan penyedia-penyedia latihan yang berdaftar dengan PSMB diwajibkan untuk mengikuti kursus “Train-The-Trainer” dan peraturan ini adalah wajar bagi memastikan penyampaian latihan yang efektif. Mereka juga bersetuju bahawa semua penyedia latihan baru yang ingin memohon Sijil Pendaftaran Penyedia Latihan dikehendaki didaftarkan di bawah Kelas B atau C terlebih dahulu.

4.7

Rasional untuk mengenakan terma-terma dan syarat-syarat baru bagi permohonan Sijil Pendaftaran Penyedia Latihan adalah untuk memastikan kualiti penyampaian yang lebih efektif dapat dipertingkatkan secara berterusan dari semasa ke semasa.


Kembali ke menu utama